Secara peribadi, saya tidak nampak apa-apa yang menggugat di sebalik kenyataan Tan Sri Khalid Ibrahim mengenai kuota pelajar bukan Bumiputera sebanyak 10%. Saya bekas mahasiswa UiTM, tetapi saya tidak canggung sekelumitpun.
Apa yang disebut Tan Sri Khalid hanyalah sekadar satu cadangan, berasaskan kepada soalan media susulan daripada apa yang diutarakan oleh Exco Pengajian Tinggi Selangor, YB Dr. Halimah Ali sebelum itu.
Cadangan itu tidak semestinya diterima bulat-bulat. Nama pun cadangan. Malah Tan Sri Khalid sendiri bukan Anggota Senat UiTM yang berkuasa mengubah polisi kemasukan mahasiswa sewenang-wenangnya.
Soal beri kuota atau tidak, terserah kepada kepimpinan UiTM dan negara. Mereka boleh memilih untuk bersandar kepada falsafah penubuhan ataupun realiti semasa mengikut kesesuaian.Kedua-duanya boleh memberi implikasi dan konotasi berbeza.
Saya lebih seronok melihat 'aksi' mahasiswa UiTM yang berarak - bahasa lebih tepat berdemonstrasi - meluahkan 'amarah' berikutan cadangan Tan Sri Khalid.
Khabarnya daripada Perlis sampai ke Sabah demo dianjurkan. Pensyarah diminta memberi pelepasan kepada siswa/i agar mereka boleh 'menjayakan program bagi mencapai matlamat program'.
Perasaan saya bercampur baur. Sedih campur gembira.
Sedih kerana mereka meletakkan nilai akademia mereka serendah-rendahnya, berdemo tanpa asas yang kukuh. Saya tidak tahu samada wujud mana-mana peruntukan undang-undang yang menghalang mana-mana manusia di atas muka bumi ini memberi cadangan.
Gembira kerana akhirnya mahasiswa UiTM keluar daripada kepompong kelesuan demokrasi. Mereka sudah mula faham erti demokrasi, dan memanfaatkan peluang untuk menikmati kebebasan berhimpun dan bersuara tanpa ada elemen kacau ganggu di bawah kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor.
Secara tidak langsung mereka melanggar peruntukan di bawah AUKU dan Akta 174 yang mereka agungkan selama ini.
Bayangkan mereka berdemo membantah kerajaan negeri terdahulu, saya percaya mereka mungkin disimbah asid atau dipukul belantan.
Saya harap mahasiswa UiTM meneruskan keberanian ini di masa-masa akan datang. Jangan selektif. Saya sarankan mahasiswa UiTM turut berdemo atas isu-isu yang lebih global dan penting, termasuklah isu setinggan, penindasan ekonomi, perobohan surau dan lain-lain isu.
Saya juga mahu tahu, apa pendirian mahasiswa UiTM ke atas pindaan AUKU yang menyaksikan mahasiswa berhimpun di Parlimen Isnin lepas? Mana ribuan mahasiswa UiTM?
Mereka mahu turun berdemo mempertahankan hak, tetapi Akta yang mengekang mereka, tidak pula mereka bantah!
Jujur, sebelum saya menutup mata, saya kepingin melihat UiTM berada dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia.
Pun begitu, saya tidak tahu apakah ia boleh menjadi realiti, ataupun sekadar fantasi dengan kepompong polisi sedia ada.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 komen pengunjung
Post a Comment