Saya hendak jawab yang dibangkitkan tadi. Tadi dikatakan double standard, student kita di UK boleh ada Kelab UMNO, student kita di Ireland boleh ada kelab UMNO. Kenapa di UM, kenapa di UKM tidak ada kelab UMNO? Jawabnya cukup mudah. Cukup mudah jawabnya, apa jawabnya? Di UK itu jauh, di Ireland itu jauh...UM itu dekat. Kalaulah kita benarkan kampus kita dimasuki oleh ahli politik, siang malam kumpulan-kumpulan ini akan masuk ke gelanggang untuk meracuni fikiran anak-anak kita.

Tuan Haji Mohd. Nor bin Othman, MP Hulu Terengganu
tatkala membahaskan pindaan AUKU 11 Disember 2008


Itulah yang terpacul di kepala saya tatkala membaca headline Sinar Harian semalam, apabila Presiden Reformis Ramlan Abu Bakar tekad mahu meneruskan demonstrasi bogel secara 'serang hendap' ke atas MB Selangor.

Dan melalui laporan Malaysiakini, nampaknya Anwar Ibrahim juga menjadi sasaran 'serang hendap bogel' mereka.

Tak tahulah nak cakap apa, tapi inilah akibatnya bila meletakkan emosi mendahului rasionaliti. Saya percaya mereka ada agama, tetapi tidak tahu apakah dalam berhadapan dengan isu-isu sebegini agama diletakkan di nombor sepuluh.

Terus terang, saya sakit hati membaca berita ini.

Saya simpati dengan kejadian tersebut, pada saya tunding jari antara kerajaan negeri dahulu dengan kerajaan negeri sekarang tidak selesaikan masalah. Benda berlaku atas ketentuan Ilahi disamping kerakusan manusia meratah tiap inci tanah demi memaksimumkan keuntungan. Yang menjadi mangsa kekal menjadi mangsa.

Apa yang penting ialah memastikan tidak lagi berlaku insiden seumpama ini dengan tindakan dan pelaksanaan dasar yang lebih berhati-hati dan teliti.

Cuma kenapa perlu dibeza-bezakan antara mangsa dan penduduk yang diarah meninggalkan kediaman berhampiran?

Kenapa pihak berwajib seolah-olah mewujudkan 'skim' mangsa mengikut first class, business class, dan economy class?

Apabila polemik papan tanda pelbagai bahasa di Pulau Pinang berlarutan beberapa ketika dulu, saya secara peribadi tidak ambil kisah. Pada saya, asalkan Bahasa Melayu tidak dimansuhkan terus, sudah memadai.

Jika saya ditanya apa solusinya, saya berpendapat, dalam apa keadaanpun Bahasa Melayu perlu jadi bahasa utama, dan saiznya mesti lebih besar daripada bahasa-bahasa lain.

Cuma saya kadang-kadang pelik, mereka yang terlalu ghairah memperjuangkan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan bagi mempertahankan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan terus senyap sunyi apabila kerajaan bertindak meneruskan PPSMI.

Kalau mengambil kata-kata Profesor Emiritus Datuk Nik Safiah Karim, mereka yang senyap ini adalah 'pengecut' untuk mempertahankan Bahasa Melayu.

Papan tanda tidak melenyapkan 'ketuanan' Bahasa Melayu, tetapi PPSMI akan menghilangkan nilai akademik Bahasa Melayu yang makin terlacur dari semasa ke semasa.

Nah, sekarang mana lebih berat 'dosa'nya?

p/s: sama-sama isi petisyen untuk menyokong bantahan PPSMI yang diusahakan oleh PKPIM di sini.

Siapa Punca Mahasiswa Kita Lesu?

Ditulis oleh adihamka | 5:14 PM | | 0 komen pengunjung »

Sepanjang sesi persidangan Dewan Rakyat 2 hari lepas, pindaan AUKU telahpun dibentangkan Menteri Pengajian Tinggi. Dan sepanjang perbahasan itu, melalui beberapa berita ringkas, kelihatan ada hujah kurang cerdik dan ada hujah bernas yang dikemukakan oleh beberap Ahli Parlimen.

Melalui berita yang saya baca di Mstar, saya agak terkejut dengan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak yang kononnya mahasiswa kita 'lesu' kerana malas belajar.

Seorang penyokong kerajaan hari ini mendedahkan bahawa pelajar terutamanya di institusi pengajian tinggi kini lemah minda bukan kerana berpolitik tetapi kerana malas belajar. Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) berkata, pelajar di universiti bukan sahaja tidak membaca buku dan hanya bergantung kepada nota dari pensyarah, malah malas untuk membuat rujukan dan malas pula membaca buku dalam bahasa Inggeris.

"Ini kerana susah, pening kepala. Pergi periksa hanya berdasarkan nota pensyarah, tutorial. Ke mana ilmu pengetahuan di kalangan masyarakat pelajar kita?" katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Univeriti 2008 di Dewan Rakyat hari ini.

Saya suka untuk bertanya, apa punca pelajar kita malas? Saya tidak mahu tolak hujah bahawa memang sikap mahasiswa kita ada pelbagai jenis. Peredaran zaman dan kecanggihan teknologi menjanjikan 'perubahan sikap' di kalangan generasi zaman berzaman.

Mendamba Momentum Baru

Ditulis oleh adihamka | 1:04 AM | | 0 komen pengunjung »

Ini tidak ada kena mengena dengan "Harapan Baru".

Cuma saya akui akhir-akhir ini saya sudah jarang menulis. Mungkin kerana kekangan kerja maka saya sukar menulis. Saya kecewa dengan keadaan ini. Maka saya mendambakan momentum baru untuk memudahkan saya menulis..

Harapan saya dengan adanya alat di bawah mampu menyelesaikan masalah 'momentum' ini...

blekberi

Selayang Pandang 3

Ditulis oleh adihamka | 1:02 AM | | 0 komen pengunjung »

Umno pecat Zaid Ibrahim

Entah kenapa saya suka beliau dipecat. Pada saya Zaid tempatnya bukan di situ. Baca buku beliau, In Good Faith dan telusuri penulisan beliau yang saya kira antara buku terbaik pernah saya baca.

Minyak Turun 10 Sen Lagi

Alhamdulillah, penurunan yang dialu-alukan.

Cuma harga roti canai di Kuantan masih RM1 sekeping, belakang rumah saya pun masih RM1 sekeping. Di Wangsa Maju ada Nescafe Ais harga RM2 segelas. Daging sekilo di pasar basah ada mencecah RM22 sekilo.

So, berbaloi ke turun 10sen, tapi harga barang masih tinggi berringgit-ringgit?

RTM Sedia Timbang Saluran Khusus Perjalanan Parlimen

Saya bersetuju dengan kesediaan ini. Biar rakyat melengkapkan penilaian mereka. Turun padang saja tidak cukup, tetapi akhlak tatkala berhujah, dan juga kesediaan untuk berbahas atas kapasiti rakyat perlu diambil kira. Biar rakyat nilai, siapa berhujah guna fakta, siapa berdalih dengan auta.

Tok Guru Nik Aziz Pilih Mat Sabu Tanding Di Kuala Terengganu

Saya setuju sepenuhnya dengan saranan Tuan Guru. Kombinasi antara kepimpinan, kepetahan, karisma dan kekananan Mat Sabu dalam pimpinan Pas melayakkan beliau diamanahkan bertanding di situ. Calon luar bukan isu, kerana di kerusi yang sama juga Almarhum Dato Onn Jaafar menempatkan diri di Parlimen pada tahun 1959 atas muafakat politik Parti Negara dan Pas pada ketika itu.
Cuma kegusaran saya, sekiranya Mat Sabu tidak terpilih, apakah itu petanda krisis 'Erdogan' masih membelenggu kalangan pimpinan Pas Terengganu?

MB Selangor sedia disiasat BPR

Tahniah Tan Sri Khalid. Buktikan yang ada ketelusan dan keterbukaan di pihak kerajaan negeri. Ini menjadi petanda buat semua MB dan Menteri yang bukan dari kalangan Pakatan.
Soalan saya, kalau terbukti Tan Sri di pihak yang benar, mahu berbogel lagikah para reformis?